Di Sebalik Tragedi Muharram

DISEBALIK TRAGEDI MUHARRAM
Apabila tiba bulan muharram, umat Islam sering dihidangkan dengan kisah kekejaman salah seorang khalifah Islam yang terdiri dari kalangan khalifah Bani Umaiyah iaitu Khalifah Yazid bin Mu’awiyah r.a. dan turut dihidangkan sama kisah-kisah penderitaan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w. terutamanya Sayyidina Husain r.a. yang kononnya menjadi mangsa kekejaman Yazid.

Namun begitu sejauhmanakah kebenaran kisah-kisah tersebut ataupun ianya tidak lebih dari cerita-cerita penglipurlara golongan yang memusuhi sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini jugalah yang menyebabkan umat Islam dengan mudah menelan segala cerita khayalan dan fantasi mengenai kejahatan serta kebejatan khalifah Yazid yang diada-adakan oleh musuh-musuh Islam dengan maksud untuk memadamkan kegemilangan sejarah pemerintahan serta tamaddun Islam.

Kalau dilihat sejenak kepada kitab-kitab sejarah maka akan ditemui banyak percanggahan berkenaan peristiwa tersebut. Di dalam sesetengah kitab terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa golongan yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain r.a. ialah tentera Yazid namun di dalam kitab yang sama tetapi di tempat yang lain pula disebutkan Syi’ah Iraqlah (Kufah) yang bertanggungjawab dalam peristiwa tersebut. Dan kalaulah diperhatikan kepada semua riwayat yang memuatkan cerita-cerita tersebut baik yang khusus berkenaan pembunuhan Sayyidina Husain r.a. di tangan Yazid serta kisah kejahatan dan amalan buruk Yazid ianya tidak lebih daripada rekaan golongan yang ditolak periwayatan mereka oleh ulama-ulama ilmu rijal (ilmu untuk menilai pewarta).

Antara cerita daripada perawi-perawi tersebut ialah apa yang dikemukakan oleh Imam Thabari dan Imam Ibnu Kathir daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya (Tarikh Thabari jilid 3 hal.305-342 dan Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 217),Al-Baladzuri daripada Al-Waqidi (Ansabul Ashraf jilid 4 hal. 21-30) begitu juga Ibnu Sa’ad (Tabaqat Ibnu Sa’ad) dan lain-lain lagi seperti Ibnu ‘Asakir (Dalaailun Nubuwwah), Khalifah bin Khayyat (Tarikh Khalifah bin Khayyat), Al-Mas’udi (Murujuz Zahab), Al-Ya’kubi (Tarikh Ya’kubi). Kalau diperhatikan kepada semua riwayat berkenaan Khalifah Yazid ianya berpunca daripada mereka berdua serta Muhammad bin Zakaria Al-Ghallabi, Umar bin Syabbah dan Muhammad bin As-Saib Al-Kalbi bahkan boleh dikatakan 90 peratus peristiwa Karbala ini berpunca daripada Abu Mikhnaf.

Lalu jika diteliti siapakah mereka itu maka akan didapati mereka adalah golongan yang ditolak periwayatannya oleh ulamak-ulamak muktabar. Antaranya ialah Muhammad bin Umar yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Waqidi. Ibnu Hajar menyebutkan dalam “Lisanul Mizan” dengan katanya, “Seorang yang ditinggalkan periwayatannya walaupun luas ilmunya”(jilid 3 hal. 288). Ibnu Ma’in berkata, “Seorang yang tidak ada nilainya”(Tarikh Ibnu Ma’in jilid 2 hal. 532). Abu Hatim, Nasaie berkata, “Riwayatnya ditolak” dan Imam Abu Zur’ah berkata, “Seorang yang lemah riwayatnya” (Al-Jarh Wat-Ta’dil juz 8 hal. 20 dan Adh-Dhu’afaa’ lin Nasaie hal 557).

Berkenaan dengan Abu Mikhnaf pula Imam Zahabi menyebutkan dalam “Mizanul I’tidal” bahawa “Beliau seorang yang tidak boleh dipercayai”, Abu Hatim dan lain-lain ulama jarh dan ta’dil telah meninggalkannya (tidak menerima riwayatnya). Daaraqutni berkata, “Dia seorang yang lemah”. Ibnu Ma’in berkata, “Dia seorang yang tidak boleh dipercayai”. Murrah berkata, “Dia seorang yang tidak bernilai”, dan Ibnu ‘Adiy berkata, “Dia adalah seorang Syi’ah, pereka cerita “.(Mizanul I’tidal juz 3 hal 419)

Begitulah juga keadaan perawi-perawi yang lain bagi peristiwa tersebut. Riwayat-riwayat mereka langsung tidak ada nilainya di sisi ulamak-ulamak ilmu rijal. Untuk mengetahui kedudukan mereka boleh dirujuk kitab-kitab rijal seperti Lisanul Mizan, Mizanul I’tidal, Al-jarh Wat-Ta’dil, Adh-Dhu’afaa Ibni ‘Adiy, Adh-Dhu’afaa Lin Nasaie dan lain-lain lagi.

Di satu sudut lain pula di dalam kitab-kitab sejarah, catatannya adalah berlainan dari apa yang tersebar dalam masyarakat umat Islam umumnya. Antaranya apa yang dikemukakan oleh Ibnu Kathir bahawasanya bilamana Muhammad bin Ali Al-Hanafiah (anak Ali r.a.) diajak supaya memberontak terhadap Yazid maka beliau berkata, “Sesungguhnya saya telah datang menemuinya dan tinggal bersamanya beberapa lama maka saya dapati ia seorang yang kuat menjaga solat, suka kepada kebaikan, selalu bertanya tentang masalah feqah dan berpegang teguh kepada sunnah. (Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 233).

Sejarawan Al-Baladhzuri telah mengemukakan satu riwayat bahawa Amir bin Mas’ud Al-Jumahi berkata,”Ketika saya berada di Makkah, datang seorang membawa berita tentang kematian Mu’awiyah r.a.. Kami pun bangun dan pergi menemui Ibnu Abbas r.a. yang ketika itu juga berada di Makkah, di samping beliau ada beberapa orang sedang duduk. Hamparan hidangan sudahpun dibuka tetapi makanan belum lagi dihidangkan pada ketika itu. Maka kamipun berkata kepadanya, “Hai Ibnu Abbas! Utusan datang membawa berita kematian Mu’awiyah. Mendengar berita itu beliau terdiam beberapa lama. Kemudian beliau pun berkata, “Ya Allah! Perluaskanlah rahmat untuk Mu’awiyah. Demi Allah, bukanlah dia sama seperti orang-orang sebelumnya dan tidaklah pula akan datang sesudahnya orang sepertinya. Sesungguhnya anaknya Yazid adalah salah seorang yang soleh dari ahli keluarganya. Oleh itu hendaklah kamu berada di tempat masing-masing dan serahkan ketaatan dan bai’ah kamu kepadanya”. (Ansabul Ashraf jilid 2 hal 2).

Imam Ali Zainal Abidin walaupun pernah beberapa lama bersama dengan Yazid selepas kesyahidan ayahnya Husain r.a. serta keluarganya di Karbala namun tidak ada satupun riwayat daripada beliau yang menyebutkan bahawa Yazid ada melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, meninggalkan solat bahkan beliau adalah orang yang memberikan taat setia kepada Yazid sehingga enggan untuk turut sama dalam pemberontakan terhadap Yazid selepas itu. (Mawaqiful Mu’aradhah hal.383)

Antara sahabat agung yang pernah bersama Yazid adalah Nu’man bin Basyir dan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib r.a. Mereka berdua juga tidak pernah menyebutkan bahawa Yazid melakukan amalan-amalan maksiat tersebut sebagaimana yang disebarkan oleh orang-orang seperti Abu Mikhnaf.

Kitab-kitab sejarah juga menggambarkan kesetiaan sahabat-sahabat r.a. yang masih hidup kepada kepimpinan Yazid dan keengganan mereka untuk memberontak terhadap Yazid walaupun didorong supaya berbuat demikian bahkan lebih dari itu mereka memberi nasihat pula kepada golongan yang ingin memberontak termasuk kepada Husain r.a. sendiri. Antara mereka adalah Abu Sa’id Al Khudri, Jabir bin Abdullah, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Abu Waqid Al-Laithi r.a. dan lain-lain lagi.(lihat Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal 176, Tarikh Thabari jilid 4 hal 254 dan 288).

Apabila kelihatan dua kenyataan sejarah berkenaan dengan Yazid yang saling bercanggah, bagaimanakah cara untuk mengkompromikannya? Bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepatutnya tidak melupakan catatan sejarah di dalam kitab paling sahih di sisi mereka selepas Al-Quran di mana Imam Bukhari mengemukakan satu riwayat daripada Ibnu Abi Nu’min bahawa dia berkata, “Aku mendengar Ibnu Umar r.a. ditanya oleh seseorang (penduduk Iraq) tentang seorang yang memakai ihram lalu dia membunuh lalat (apakah dendanya)? Lantas Ibnu Umar r.a. menjawab, penduduk Iraq bertanyakan tentang (denda) membunuh lalat? Sedangkan mereka telah membunuh anak lelaki kepada anak perempuan (cucu) Rasulullah s.a.w.”. (Sahih Al-Bukhari, Kitabul Manaqib jilid 1 hal. 531).

Bukankah jelas di dalam riwayat ini Ibnu Umar r.a. mengisyaratkan bahawa pembunuh cucu Rasulullah s.a.w. itu adalah penduduk Kufah? Jadi mana-mana riwayat yang bertepatan dengan isyarat di dalam riwayat sahih ini maka ia menjadi penguat kepada riwayat tersebut dan sebaliknya mana-mana riwayat yang bertentangan dengan riwayat yang sahih maka ia tidak boleh diterima lagi.

Kerana itu ulama Ahlus Sunnah ada di antaranya dengan jelas mengatakan bahawa pembunuh Sayyidina Husain r.a. yang sebenarnya bukanlah Yazid. Antaranya Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin mengatakan, “Sesungguhnya tidak terbukti sama sekali bahawa Yazid yang membunuh Husain r.a. Kerana itu tidak harus untuk dikatakan bahawa beliaulah yang membunuh Husain r.a. ataupun yang memerintahkannya, apatah lagi untuk melaknatnya kerana tidak harus menisbahkan seseorang muslim kepada suatu dosa besar tanpa sebarang kepastian”. (Ihya’ Ulumiddin jilid 3 hal 134)

Ibnus Solah mengatakan, “Tidak sahih di sisi kita bahawa Yazid telah memerintahkan supaya Husain r.a. dibunuh”. (Fatawa Wa Masaail Ibnus Solah jilid 1 hal 216).

Ibnu Hajar sendiri selepas mengemukakan hadis berkenaan tentera yang mula-mula merentasi lautan berkata, “Imam Muhallab berkata, Hadis ini menunjukkan kedudukan yang mulia untuk Mu’awiyah r.a. kerana dialah orang yang mula-mula berperang merentasi lautan dan juga kedudukan mulia anaknya Yazid kerana dialah orang yang mula-mula memerangi Bandar Qaisar”. (Fathul Bari jilid 6 hal. 114)

Bahkan Imam Ibnu Kathir selepas mengemukakan riwayat-riwayat sejarah tersebut telah membuat komentar dengan katanya,” Syi’ah Rafidhah telah melakukan banyak pembohongan dan membawa khabar-khabar yang tidak benar sama sekali di dalam cerita-cerita kesyahidan Husain r.a.. Kisah-kisah yang telah dikemukakan sudahpun memadai. Kalaulah tidak kerana imam-imam sejarah seperti Ibnu Jarir At-Thabari dan lain-lain menyebutkannya tentu sekali saya juga tidak akan mengemukakannya. Kebanyakannya adalah melalui riwayat Abu Mikhnaf Lut bin Yahya sedangkan dia adalah seorang Syi’ah dan dia adalah seorang yang lemah dalam periwayatan menurut tokoh-tokoh sejarah. (Al-Bidayah Wan Nihayah jilid 8 hal. 220)

Bagi golongan Syi’ah pula sepatutnya tidak lupa untuk mengkaji catatan ulama-ulama muktabar di dalam kitab-kitab utama pegangan mereka. Umpamanya di dalam Al-Ihtijaj ‘Ala Ahlil Lajaj, Ahmad bin Ali bin Abi Talib At-Thabarsi menulis bahawa Imam Ali Zainal Abidin anak Sayyidina Husain r.a. yang ikut serta dalam rombongan Husain r.a. ke Kufah telah berkata kepada penduduk Kufah, “Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasanya kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu lakukan untuk dirimu”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal. 306)

Pada halaman sebelumnya At-Thabarsi mengemukakan kata-kata Fatimah As-Shughra anak perempuan Sayyidina Husain r.a. kepada penduduk Kufah, “Wahai Penduduk Kufah, wahai pembelot dan pengkhianat! Kami adalah Ahlul Bait yang Allah Ta’ala menguji kami dengan kamu dan menguji kamu dengan kami,” seterusnya selepas memuji-muji kedudukan Ahlul Bait beliau berkata lagi, “Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami sebagaimana kamu telah membunuh datuk kami Ali r.a.. Pedang-pedang kamu sentiasa menitiskan darah-darah kami Ahlul Bait”.(Al-Ihtijaj juz 2 hal 302).

Mulla Baqir Al-Majlisi yang diberikan gelaran Khatimatul Muhaddithin (penyudah kepada ahli-ahli hadis) di sisi Syi’ah menukilkan kata-kata Sayyidina Husain r.a. kepada Syi’ah Kufah yang telah bersiap untuk bertempur dengan beliau,”Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh dalam menentang kami”.(Jilaau Al’ Uyun,hal 391).

Di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin Al-Amin mengatakan bahawa “seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husain kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).

Dan banyak lagi kitab-kitab Syi’ah menukilkan perkara yang sama seperti Al-Irsyad Syeikh Mufid hal. 234, I’lamul Wara hal. 242, Kasyful Ghummah jilid 2 hal 18 dan lain-lain lagi.

Berdasarkan kepada segala fakta yang dikemukakan di atas dapatlah disimpulkan bahawa segala cerita berkenaan kezaliman Yazid dan tenteranya tidak lebih daripada dongengan yang datangnya dari kilang-kilang Syi’ah terutamanya Abu Mikhnaf Lut bin Yahya. Kerana itulah tidak akan ditemui riwayat-riwayat tersebut di dalam mana-mana kitab bertaraf sahih di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Riwayat sahih yang ada sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini begitu jelas bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam kitab-kitab sejarah. Bahkan kalau dikaji apa yang terdapat di dalam kitab-kitab Syi’ah yang merupakan rujukan utama mereka seperti Al-Ihtijaj, Al-Irsyad dan lain-lain akan didapati perkara sebaliknya iaitu pembunuh Husain yang sebenar adalah penduduk Kufah yang terkenal sebagai golongan Syi’ah

Upacara 10 Muharram

Setiap tahun tanggal 10 Muharram penganut-penganut Syi’ah akan mengadakan upacara pengkabungan kononnya sebagai tanda memperingati kematian Imam Husain. Mereka akan mengadakan pelbagai upacara seperti menampar-nampar muka dan dada, menyiksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala dengan pisau-pisau kecil bahkan ada yang menggunakan pedang sehingga tubuh dibasahi darah. Di samping itu seorang dari kalangan mereka yang di gelari dengan nama “Zakir Husain” akan mengumandangkan syair-syair ratapan menceritakan penderitaan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. dan kezaliman yang dilakukan terhadap mereka diselangi dengan caci maki terhadap Bani Umayyah dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang dianggap mereka sebagai perampas hak Ahlul Bait.

Namun begitu apakah amalan tersebut merupakan ajaran Imam-imam yang dianggap maksum oleh mereka? Jawapannya akan ditemui setelah ditinjau dari perspektif ajaran Ahlus Sunnah dan Syi’ah.

Ahlus Sunnah sepakat bahawa amalan tersebut merupakan amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, “Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah.”(Sahih Bukhari Kitabul Janaaiz dan Muslim Kitabul Iman). Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Malik Al-Asy’ari bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda.” Meratap adalah termasuk dari amalan jahiliyyah, orang yang meratap bilamana dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat bertaubat, Allah akan memakaikan kepadanya pakaian dari minyak tar (yang panas) dan baju dari nyalaan api neraka”.(Sunan Ibnu Majah bab larangan dari meratap).

Dua hadis yang tersebut di atas membuktikan bahawa amalan tersebut dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dengan disertai janji azab di hari kiamat kelak bagi orang yang melakukannya. Kerana itu tidak ada ulama dari kalangan Ahlus Sunnah yang mengharuskannya apa lagi untuk melakukannya serta menjadikannya sebagai satu syiar.

Akan tetapi ada di kalangan ulama Syi’ah mengharuskan amalan tersebut. Di antara mereka Ayatullah Al-Uzma Jawad At-Tibrizi mengatakan, “Syi’ah pada zaman Imam-imam a.s. hidup dalam keadaan taqiyyah (menyembunyikan pegangan mereka serta menyatakan tidak sebagaimana yang dianuti). Oleh itu tidak terdapatnya syiar-syiar sebegini pada zaman mereka bukan menunjukkan amalan tersebut tidak di syariatkan untuk zaman ini. Andaikata Syi’ah pada zaman mereka hidup di zaman ini sudah tentu mereka akan melakukan sebagaimana yang kita lakukan ini seperti menaikkan bendera-bendera hitam dalam menghidupkan upacara mengingati Imam Husain begitu juga di rumah-rumah untuk menyatakan kesedihan”.(Lampiran Siratun Najah Imam Khu’ie jilid 2 hal 562 soalan 1741).

Daripada fatwa yang dinyatakan oleh At-Tibrizi tersebut timbul satu persoalan, “Bukankah Imam Maksum menyuruh supaya kamu menyembunyikan agama kamu kerana ianya membawa kepada kemulian sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Kulaini di dalam kitab paling sahih di sisi Syi’ah iaitu Al-Kafi daripada Imam Jaa’far As-Sadiq a.s. bahawa ia berkata kepada Sulaiman bin Khalid, “Sesungguhnya kamu berada di atas agama yang mana sesiapa yang menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menzahirkannya akan dihina oleh Allah. (Al-Kafi jilid 2 hal 223)

Berdasarkan kepada dua hadis melalui riwayat Ahlus Sunnah dan fatwa daripada At-Tibrizi di atas, berlaku pertembungan antara Ahlus Sunnah dan Syi’ah dalam persoalan berkaitan ratapan dan perkabungan ini. Bagaimana pula pendapat Imam-imam Ahlul Bait? Apakah ianya bertepatan dengan apa yang diamalkan oleh penganut Syi’ah sekarang atau sebaliknya? Untuk mengetahui pegangan mereka perlulah dilakukan kajian berdasarkan kitab-kitab muktabar Syi’ah sendiri.

Di dalam Nahjul Balaghah, Syarif Radhi mengemukakan kata-kata Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud,”Sesiapa yang memukul tangannya ke atas pahanya ketika ditimpa musibah maka binasalah amalannya”.(Nahjul Balaghah juz 4 hal. 34). Al-Kulaini juga mengemukakan kata-kata yang sama daripada Imam Jaa’far As-Sadiq.(Al-Kafi jilid 3 hal 225). Sayyidina Ali r.a. juga menghubungkan amalan tersebut dengan amalan jahiliyyah sebagaimana yang dinukilkan oleh Mulla Baqir Al-Majlisi dengan katanya,”Tiga perkara termasuk dari amalan jahiliyyah di mana manusia melakukannya secara berterusan, memohon hujan dengan bintang, mencela keturunan orang lain dan meratapi kematian seseorang.”(Biharul Anwar jilid 82 hal 101). Ibnu Babuwaih Al-Qummi yang digelarkan dengan As-Saduq (seorang yang sangat benar) menyebutkan bahawa antara ucapan Rasulullah s.a.w. ialah “Meratap termasuk dari amalan Jahiliyyah”.(Man Laa Yahdhurul Faqih jilid 4 hal 271). Di tempat yang lain beliau menukilkan kata-kata Imam Ali yang bermaksud,”Jangan memakai pakaian hitam kerana ia adalah pakaian Fir’aun”. (ibid hal 51)

Apa yang dikemukakan diatas merupakan sebahagian riwayat daripada Imam-imam Ahlul Bait yang jelas mengeluarkan amalan tersebut daripada ajaran Islam. Bahkan jika dinilai amalan tersebut ianya langsung tidak bersesuaian dengan agama Islam yang suci dan fitrah manusia. Fitrah yang suci sudah pasti tidak akan dapat menerima sesuatu amalan yang mendatangkan siksaan serta kesakitan kepada tubuh badan sebagai satu ajaran agama yang suci.

Kalau begitu apakah maksud sebenar penganut Syi’ah mengadakan upacara-upacara tersebut? Amalan tersebut jika diteliti dari pelbagai sudut sekalipun tidak mendatangkan sebarang kebaikan bahkan mendatangkan keburukan dan kesakitan pula di samping membuang masa serta berlakunya pembaziran. Apakah dengan upacara tersebut penganut Syi’ah akan dapat mengheret pembunuh Sayyidina Husain serta dapat menghalang Imam mereka daripada dibunuh? Sayyidina Husain r.a. sudahpun mendapat kemulian syahid dan sudah pasti ia berada di Syurga sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bahawa dia adalah salah seorang penghulu pemuda syurga. Begitu juga yang pasti pembunuhnya sudahpun mendapat pembalasan dari Allah Ta’ala di samping menunggu balasan yang lebih dahsyat lagi andaikata tidak sempat bertaubat sebelum kematiannya.

Di samping itu apakah maksud mereka mengungkapkan caci maki terhadap Bani Umayyah di dalam upacara tersebut? Bukankah Allah Ta’ala memerintahkan supaya mendoakan keampunan kepada orang-orang yang meninggal dunia dalam keadaan beriman. Andaikata penganut Syi’ah mengatakan maksud mereka adalah untuk mengenang perjuangan yang dilakukan umat terdahulu serta membangkitkan semangat penentangan terhadap golongan yang melakukan kezaliman terhadap umat Islam terutamanya Ahlul Bait, kenapa tidak dilakukan ratapan terhadap kesyahidan abangnya Hasan atau ayahnya Ali r.a?. Sedangkan Sayyidina Ali syahid di tangan golongan yang di terima sebagai sesat oleh Ahlus Sunnah dan Syi’ah. Apakah kesyahidan Husain r.a. adalah lebih besar lagi daripada ayahnya?. Ataupun mengapa tidak dilakukan perkabungan ke atas Hamzah r.a. bapa saudara Nabi s.a.w. yang syahid di tangan musuh Islam dalam peperangan bersama Rasulullah s.a.w.? Atau mengapa tidak perkabungan di atas kematian Rasulullah s.a.w. sendiri?

Jawapannya adalah dengan meneliti amalan yang dilakukan dalam upacara perkabungan tersebut. Antaranya menggembar-gemburkan kezaliman serta kekejaman yang dilakukan Yazid dan tenteranya terhadap Sayyidina Husain r.a. dan keluarganya dalam keadaan dunia sudahpun mengakui bahawa Yazid adalah seorang pemimpin bagi Umat Islam dari kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kalaulah tujuan dibangkitkan dan dikemukakan sejarah kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Yahudi baik dahulu dan kini adalah dengan maksud untuk membangkitkan kebencian terhadap mereka di samping keinginan untuk membalas dendam terhadap mereka, maka tidak salah untuk mengatakan maksud mengadakan upacara perkabungan terhadap Sayyidina Husain r.a. dengan mengulangi sebutan kezaliman Yazid dan Bani Umayyah adalah dengan tujuan serta maksud yang sama terhadap golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: